TINGKALANON - TANDEK - MORION

Thursday, July 30, 2009

Tahniah Utara.FM dan SAM



Terus mengorak langkah. Daerah Ranau menyaksikan satu pertemuan gabungan NGO Sabah dan Semananjung Malaysia bersempena majlis 'Jasamu Dikenang' bersama mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah membawa satu titik permulaan bersejarah kepada Utara.FM dan SAM.

UtaraFM@Komuniti Utara Sabah (KUSnet) telah dirasmikan oleh mantan PM menjadikan KUSnet radio online yang pertama di Sabah dan seterusnya menjadi radio rasmi kepada gabungan NGO Sabah bertemakan 'Suara Kami Suara Mereka' . Tahniah!

Penubuhan KUSnet seiring dengan kemunculan sulung blog Suara Anak Marudu (SAM) dan dalam jangka masa yang singkat telah menjalinkan satu ikatan besar melalui beberapa siri pertemuan demi pertemuan di Dataran Bengkoka dan akhirnya berpadu tenaga bersatu melalui wadah rakyat dan hiburan.

Menariknya, kalangan penulis SAM telah dijemput menjadi DJ di KUSnet. Antaranya, DJ Nong, DJ Aldusuni, DJ Tompinai dan DJ Illie (LUGU) bergabung bersama Otai DJ Tuan Rumput dan rakan-rakan DJ Kusnet lain.

Berangan-angan jadi DJ tapi macam teda bakat nie. Hahaha... (stop dreaming LM!) Apa pun sangat berbangga dengan kalian. Teruskan usahasama baik ini demi UTARA sabah dan seterusnya ke peringkat nasional dan global. Macam biasa juga baahhh!


Tun Abdullah Ahmad Badawi merasmikan Utara.FM sambil ditemani oleh Aldusuni (Lensa SAM)
Nash, artis pertama dari semananjung ditemuramah oleh Tuan DJ Otai Rumput.

Thursday, July 09, 2009

Takziah Untuk Keluarga Pamajah

Blog ini merakamkan kesedihan dan simpati yang sangat mendalam kepada keluarga Pamajah di atas pemergian insan tersayang Sdr. Jodin Pamajah jam 10.20pm semalam. Kesedihan yang ditanggung oleh keluarga ini hanya Tuhan sahaja yang tahu. Sama-sama kita berdoa. Mayatnya akan dibawa balik ke Sabah hari ini unutk upacara pengkebumian di kampung. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang disayangi-Nya. Amen.

P/S. Mickey's Blog akan berkabung selama seminggu.
View Image

Wednesday, July 08, 2009

Sokongan Tambahan Artikel Dinakan: Jika Ideanya Ditolak Mari Kita Ke Kinabatangan

Kalau diperhatikan betul-betul persempadanan semula kawasan pilihanraya Sabah, P.168 boleh dikategorikan juga sebagai satu kawasan besar namun tidaklah 'sebesar mana' berbanding dengan P.187 kinabatangan.

Izinkan saya membawa satu isu lain. Apa perbezaan idea politik yang berlaku di Kinabatangan dengan di Kota Marudu? Kalau diperhatikan suara Bung Mokhtar di parlimen, isu pembangunan di Kinabatangan perkasa disuarakan. Susulannya, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah termasuk timbalannya Datuk Zainal Abidin Osman, memberikan reaksi positif kepada suara Kinabatangan dalam usaha menyediakan rumah kepada masyarakat termiskin. Sejumlah RM1.19 juta diperuntukkan tahun ini, sebahagian daripada RM20 juta peruntukan kepada Sabah. Tahun lepas, Bung Mokhtar berjaya membawa masuk Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd Taib melihat sendiri keadaan di Kinabatangan dan kemudian merasmikan bangunan Pusat Kegiatan Masyarakat (PKM).

Bagaimana dengan di KM yang mempunyai 1917 km persegi? Keluasan Kinabatangan 30 ribu km persegi mampu digapai oleh kecerdikan idea politik Bung Mokhtar. Bagaimana pun Bung Mokhtar 'mengalah' juga dengan keluasan kinabatangan dan mengusulkan satu lagi DUN di Bukit Garam untuk memastikan keberkesanan agenda kemajuan meliputi keseluruhan kawasan Kinabatangan namun ditolak oleh kerajaan negeri tahun lepas. Ini tidak mematahkan semangat Menteri Parlimennya dan terus bersuara untuk membawa masuk kemajuan di kawasan pilihanrayanya.

KM perlukan pemimpin berhati waja. Jika idea Dinakan menambahkan kawasan Parlimen dan DUN di KM ditolak, YB kita perlu berjuang di parlimen, bawa masuk menteri berkaitan, tinjau KM, bangunkan KM. YB kita HARUS tidak menggunakan alasan KM susah dimajukan kerana kawasannya begitu besar.

Saya katakan BELAJAR dari KINABATANGAN.

KPI: Indeks Prestasi Kerja Yang Menguntungkan Rakyat Dan Negara

Perlaksanaan KPI dialu-alukan memandangkan selama ini prestasi kerja penjawat awam termasuk ahli politik kurang dipantau secara spesifik. Memetik ucapan Perdana Menteri yang antara lain menyatakan kemajuan negara berpandukan kepada sejauh mana agenda kerajaan dapat diterjemahkan. Tambahan beliau, transformasi bukan semata-mata PEMBAHARUAN tetapi juga PERUBAHAN. Dalam kenyataan susulan, beliau berpendapat hubungan baik antara anggota pentadbiran dengan perkhidmatan awam diperlukan untuk pengukuhan kejayaan agenda negara.

Nota: Kota Marudu menyambut baik langkah perlaksanaan KPI memandangkan selama ini KM agak tercicir daripada perhatian kerja yang berprestij. Dengan adanya KPI ini dapat memberikan dorongan dan inspirasi kerja agar pihak berkenaan lebih berinisiatif untuk menjadikan KM sebahagian daripada acuan agenda negara. Kejayaan pembaharuan dan kemajuan di KM melalui pemantauan prestasi kerja sudah pasti memberikan manafaat kepada rakyat. Sebagai tambahan, PEMBAHARUAN dan PERUBAHAN tidak akan ke mana jika PERLAKSANAANnya tidak telus.

Rakyat juga boleh bertindak sebagai KPI yang berkesan. Jika rakyat bersuara itu petunjuk ada banyak kerja yang perlu dilakukan oleh pihak yang terlibat dalam sepak terajang politik.

Monday, July 06, 2009

Seorang Lelaki Di Bulan Julai

Malam itu, kemilau bintang mulai dilirih gerimis. Entah bayang mendung itu bernada murung atau sendu. Seorang lelaki berendam narasi rasa berupa jelaga menjingga menjadi tirai hati. Hening bening, sepi malam sunyi menyapu ke beranda menunggu kabut subuh di hujung gelap pekat yang panjang.

Ingatan selangkah ke belakang, sejuk digerenyang embun kelmarin. Mudik ke kuala waktu, rindu dikerjai rasa ragu dan sepasang mata yang penuh cinta. Lidah berapi menjadi unggun menjala remangnya ke daerah hati, pekat kelam, hilang menjauh. Samar-samar diterjah bulan sejarak rasa enggan menyuluh pencarian.

Tiga malam ini, aku ditari canda menggebu, dulunya enggan runsing, menyala di taman lara. Bukan aku tidak rindu pada purnama nun di hujung mimpiku. Bukan tidak hadir dendam asmaraku ke kamar juita. Aku ini sang adiwarna yang mencari pelangi di pintu kekasih. Senja ini terlalu singkat untuk mengenang. Sebentar lagi pejam mataku. Tidur seorang lelaki di bulan Julai. Selamat malam kepada sekujur jiwa ragaku. Jangan ada ragu.

Sunday, July 05, 2009

Kemajuan Terbantut Kerana Terlalu Mementingkan Pencapaian Diri?

1. Prestij gelaran dan jawatan sesuatu yang dicari semua orang.

2. Hakikatnya tidak dapat dinafikan malah dijadikan kayu pengukur sejauh mana pencapaian seseorang. Siapa yang tidak lupa akan frasa ini "Jika anda ingin dihormati, anda perlu cemerlang'.

3. Harus diingatkan kecemerlangan ini perlukan ketepatan di dalam aplikasi konteksnya.

4. Pertanyaan biasa 'Kenapa tempat 'ini' atau 'itu' tidak maju-maju juga?' Mau tidak mau kita tidak dapat lari daripada bercakap mengenai siapa yang kita telah wakilkan untuk berpencak di pentas politik.

5. Secara jujurnya, orang politik kita membuat kesilapan di antara mencari makna dalam konteks tepat pencapaian diri atau pencapaian dalam tanggungjawab sosialnya bila bercakap soal politik. Kenapa kemerlangan ini tidak dapat menterjemahkan aksi agresif mengatursusun pencapaian kemajuan yang boleh dikatakan sebagai membangun? Apa faedahnya kepada rakyat jika kecemerlangan peribadi hanya mengGAHkan diri sendiri?

6. Tanpa menafikan kredebelitinya, biar saya berterus-terang, berapa penggal Dr. Maksimus berkuasa di bumi Marudu termasuk berpeluang mencelah kerusi N5. Tandek? Pada waktu Kota Marudu bertatih-tatih pembangunannya (Tandek tidak perlu saya sentuh. Semua faham), Datuk Chong Kah Kiat membuktikan pembangunan di Kudat menjadi fenomena di mata masyarakatnya.

7. Secara mudahnya, rentak kemajuan begitu perlahan, terkandas didalangi impian politik mereka. Sebab kenapa? Mengapa menerima jawatan 'besar' ketika beban tugas selaku YB biasa memajukan kawasan pilihanraya pun 'selalu tidak punya masa' untuk rakyat?. Jadi bayangkan jika dilantik menjadi menteri. Waktu berkualiti bersama rakyat menyempit kepada skala yang lebih kecil, tipis. Oh ya, mungkin ini caranya jumlah bajet 'up' sikit.

8. Tidak salah menyandang jawatan menteri (malah sangat bagus menjawat kedudukan tinggi dalam hireraki politik jika pada masa yang sama terus mencurahkan khidmat kepada masyarakat). Sandang la apa sahaja jawatan kerana itu satu pengiktirafan. Tapi sebelum itu, YB perlu ada fokus sebelum berjinak-jinak dengan jawatan besar. Berikan prestij waktu dan prestasi kemajuan kepada kawasan pilihanraya. Bangunkan rakyat dengan implementasi teknologi dan prasarana ilmu. Rancang sifar buta huruf, hasilkan usahawan. Jana modal insan, tarik pelabur, tingkatkan produktiviti, perkasakan ekonomi asas tani. Permudahkan akses prasarana, tawan perbankan menjadi rakan kepada industri desa. Lahar peruntukan biar jadi baja, menyuburi landskap di halaman parlimen anda atau di beranda ADUN.Waktu itu rakyat sudah gembira walaupun berduyun-duyun jawatan yang datang meminta anda menyandangnya.

9. Jika selama ini sebagai YB biasa pun tidak mampu meluangkan masa memajukan kawasan pilihanraya, apa yang dapat diharapkan jika asyik sibuk di peringkat persekutuan?? Sepatutnya menjadi JAMBATAN rakyat tapi yang jadinya bertukar HAMBATAN yang menjarakkan dunianya dengan marhain yang bergelandang di rimba harapan.

10. Kepada YB (Yang Berkenaan) - buktikan bahawa kami tersilap. Betulkan kami bahawa pencapaian peribadi anda diiktiraf persekutuan sebenarnya satu ruang yang menambah peluang membangunkan rakyat.

11. Harap ADUN kita ambil iktibar. Jangan ulang langkah sama. RAKYAT DIDAHULUKAN, PEMBANGUNAN DIUTAMAKAN. Kemudian gapailah kepuasan pencapaian peribadi