Pinakang : Lama Tidak Ke Gelanggang Muzik
Kali terakhir saya cuba-cuba main muzik kulintangan pada tahun 2004. Itupun hanya menggunakan peralatan yang dibuat daripada kayu. Seingat-ingat saya, saya tidak pernah mempunyai pengalaman membunyikan kulintangan dan tidak pernah ada sesiapapun yang mengajar saya secara formal. Bapa saya, setiap petang bersantai ketika pulang dari sawah bendang, merehatkan lelah sambil menitik titikan kulintangan pada keping-keping kayu yang dibuatnya sendiri. Kalau bapa saya tidak bermain alat itu, saya akan menggantikan tempatnya dan membunyikan titikan kulintangan sebagaimana yang biasa saya dengar. Itu permulaan saya mengenali muzik tradisi ini. Kebetulan, pada suatu majlis perkahwinan adik saya yang berlangsung baru-baru ini, Raja Kulintangan saudara Mojiun turun gelanggang memeriahkan majlis tersebut dengan kepakarannya menawan halwa rasa melalui bunyi-bunyian tradisi kulintangan yang mengasyikkan. Ketika Sang Raja Kulintangan merehatkan diri, saya mengambil kesempatan mencuba-cuba bakat. Aksi saya sedang menitik kulintangan sempat dirakam oleh abang saya tanpa saya sedari. Dan inilah hasilnya... bunyi-bunyi yang haru-biru...hehehe.Selamat berhibur. Walaupun tidak sedap didengar, sekurang-kurangnya saya cuba berusaha untuk mendekati warisan nenek moyang. Dan lebih mengusik kenangan, titikan ini mengingatkan sentiasa kepada bapa saya. Bapa... minta maaf anakmu tidak dapat menarikan tangan seperti tangan bapa yang setiap petang "bercanda" menghasilkan bunyi-bunyi lengkap muzik tradisi jati Kimaragang. Terima kasih kerana memperkenalkan saya muzik ini.



















