Sunyi? Senyap? Tidak ada idea di Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN)? Bagaimanakah kawasan N5 Tandek dapat diberikan nafas pembangunan jika wakil rakyat yang dipilih tidak bersuara di peringkat DUN? Saya tidak pasti sejauh manakah kebenarannya bisik-bisik yang mengatakan Adun N5 Tandek tidak proaktif setiap kali DUN bersidang. Jika wakil rakyat tidak ada karisma untuk memperjuangkan kawasan pilihanraya yang dimenanginya, mengapa perlu melibatkan diri dalam politik? Apa sebenarnya yang ada di dalam kerangka pemikirannya ketika mengambil keputusan untuk bertanding sebagai calon dalam pilihanraya ke-12 baru-baru ini? Barangkali jika menang, banyak jalan kemewahan yang boleh dilalui, dijenguk-jenguk. Mungkin terbayang-bayang berapa banyak pintu emas yang boleh dibuka. Atau mungkin bermimpi awal Briefcase sudah dipenuhi dengan kertas-kertas projek dan terasa bahang komisen yang bakal memberatkan kocek.
Jika dalam kempen, ada kesanggupan bersengkang mata, meredah kampung dan bermandikan terik mentari, hujan dan lumpur untuk bertemu rakyat, kebetulan pula di dampingi pemimpin besar mengaum ke ceruk desa, meminta simpati agar diberikan sokongan undi, memberi janji dan mengwar-warkan menifesto yang sedap halwa mendengar, kemudian meraih keseronokan bersorak kemenangan, hasilnya membisu di ruang DUN sekadar memikul rasa bangga digelar Yang Berhormat, berbaloikah sikap 'kecut perut' begini untuk N5 Tandek yang selama ini bersatu memberikan undi? Lebih menyedihkan bila pilihan yang ada sekadar termanggu, membiarkan corong mikrofon membisu tanpa membawa khabar tangisan rakyat? Kaku oleh hawa dingin DUN atau mati akal atau tidak mengerti bagaimana menonjolkan personaliti diri sebagai pejuang rakyat, sekadar mendengar kesungguhan ahli Yang Berhormat dari kawasan pilihanraya yang lain berhujah memperjuangkan nasib rakyat yang dahagakan perhatian dan hak pembangunan, saya tidak tahu. Namun yang jelas, keterampilan politik begini tidak akan membawa N5 Tandek melangkah ke depan akibat kegagalan dalam menafaatkan sepenuhnya program-program pembangunan kerajaan yang telah tersedia. Fikir-fikirkanlah wahai N5 Tandek!
Mau tidak mau N5 Tandek akan berterusan menadah air mata, tangisan derita warga desa yang selalu tidak dihargai, menangisi kesilapan berulang tetapi belum sampai hati untuk mengubah 'sesuatu' kerana ada semacam sentimen yang sudah sebati atau prospek untuk tidak mengkhianati kesetiaan kerana 'kekebalan nilai rasa' yang memandang parti ini parti PBS, kerana parti ini dalam komponen BN. Kerana parti ini parti orang dusun. Kerana parti inilah yang telah diyakini, dipandang oleh peringkat negeri dan persekutuan sebagai rakan yang sah kepada saluran pembangunan dan bantuan kewangan untuk projek-projek desa kerana alasannya parti ini dalam kerajaan yang memerintah. Lagi pun orang kita juga bah!. Ingin saya ingatkan nilai rasa yang menebal seperti ini sudah semakin MENIPIS, menunggu masa dan kini diperhatikan dengan hati luka, terluka dan dilukai (luka lama berguris belum sembuh!) .... Jangan Yang Berhormat Puan Anita Baranting tidak sedar bahawa N5 Tandek sudah terlalu lama bersabar dan kini meniti ke penghujung untuk setia! Adun N5 Tandek, fikir-fikirlah... bahawa kami TIDAK SUKAR untuk membuang kesetiaan jika anda tidak progresif.
Sampai bila Yang Berhormat N5 Tandek menjadikan ini sebagai landasan yang membutakan intergriti dan jati diri, tidak merasa risau ditolak di tempat sendiri kerana sindrom yang bergantung kepada kewujudan sentimen kuat seperti ini.. Bukankah ini satu asas yang baik untuk terus bertahan dan mempertahankan wadah perjuangan politik PBS - 'YANG TABAH UNTUK RAKYAT' yang pada hemat saya cukup menyentuh hati (suatu ketika dulu) dan sesungguhnya saya tidak faham mengapa YB N5 Tandek tidak melihat ini sebagai satu kekuatan politik untuk berdamping dengan rakyat melalui perancangan yang berkarisma, berjalan bersama-sama dengan kepercayaan rakyat melalui idea-idea yang keramat untuk bumi sendiri!
5 tahun tidak lama untuk menghukum. Ada beberapa wajah di kalangan warga desa N5 Tandek yang lebih bersungguh-sungguh malah mempunyai karekter yang lebih agresif, berketerampilan sama ada mereka ini berada di pihak pro kerajaan atau pro pembangkang yang bakal memberikan cabaran. Dengar-dengar khabar, mereka sudah bergerak dalam satu kumpulan gerak kerja bersepadu, menjelajah kampung ke kampung sejurus selepas pilihanraya yang lepas. Semangat mereka ini kental, lebih pragmatik. YB, reaksi mereka responsif terhadap keluhan rakyat dan tentunya kesungguhan beginilah yang mendapat tempat di kalangan rakyat untuk memberikan batu nisan terhadap kesetiaan kepada Parti PBS.
Jika YB N5 Tandek sekadar mahu melihat ada sejarah yang boleh dikenang-kenang, dibangga-banggakan sebagai satu kisah turun-temurun kepada generasi sendiri bahawa anda pernah memiliki rekod menang sebagai calon, tidak mengapa. Tidak ada apa yang N5 Tandek boleh buat. Undi sudah memenangkan anda. Seperti yang saya tegaskan sebelum ini, 5 tahun tidak begitu lama untuk menghukum!